Wednesday, 10 July 2013

1.2 OBJEKTIF PENUBUHAN KOPERASI SERBAGUNA DARA BERHAD (KSD)



Objektif utama penubuhan KOPERASI SERBAGUNA DARA BERHAD (KSD) ialah untuk meningkatkan taraf sosial ekonomi dan kebajikan para anggota. Objektif ini dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan seperti :-
·        Menyediakan pelbagai bentuk pinjaman,
·        Insuran Berkelompok untuk anggota,
·        Sumbangan kebajikan,
·        Anugerah kecemerlangan pendidikan.
Objektif penubuhan koperasi juga bermatlamat untuk menyediakan kemudahan menyimpan bagi menggalakkan anggota menabung serta berjimat cermat. Untuk itu, kadar dividen yang menarik ditawarkan bergantung kepada prestasi tahunan koperasi. Bagi memaksimumkan pulangan kepada anggota, Koperasi telah mempelbagaikan aktiviti tanpa hanya bergantung kepada pulangan daripada pinjaman semata-mata
Objektif Koperasi dapat diringkaskan seperti berikut :
·        Meningkatkan kebajikan anggota melalui aktiviti yang dijalankan
·        Mengurus kepentingan ekonomi anggota dengan cekap, berkesan dan berwawasan mengikut undang-undang dan peraturan
·        Meningkatkan pulangan kepada pelaburan anggota
·        Meningkatkan nilai aset koperasi dengan membuat pelaburan yang menguntungkan dengan risiko yang minimum





1.1 LATAR BELAKANG PENUBUHAN




Sejarah Koperasi Serbaguna DARA Berhad (KSD) sebenarnya tumbuh sebagai tunas kecil di bawah pohon rimbunan hijau Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) yang diasaskan oleh beberapa orang kakitangannya yang mempunyai visi dan misi untuk menyatukan kepakaran dan tenaga bagi menubuhkan satu pergerakan koperasi yang sah bagi kegiatan ekonomi dan kebajikan kakitangan DARA. Satu jawatankuasa penaja yang terdiri daripada pihak pengurusan DARA telah mengadakan beberapa mesyuarat bagi membincangkan penubuhannya dan hasilnya pada 6 Disember 1978 Koperasi Serbaguna DARA Berhad telah didaftarkan secara sah dengan No. Pendaftaran Koop Negeri No. 30.
Terdiri daripada hanya di kalangan kakitangan DARA dan anak-anak syarikat DARA pada awal penubuhannya, keanggotaan KSD pada November 1981 adalah seramai 149 orang. Kini keanggotaan KSD semakin bertambah di mana keanggotaan terkini seramai 591 orang dengan modal saham berbayar sebanyak RM 4,730,646.62 sehingga 30 September 2012. KSD mula menceburi bidang pembalakan dan kerja kontrak, termasuk mengusahakan sebuah kantin di Pejabat Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) dan menjual barangan pengguna secara kecil-kecilan selain memberi pinjaman wang tunai dari Dana Tabung Kebajikan kepada anggota-anggotanya yang memerlukan.
Kini aktiviti perniagaan KSD tertumpu kepada :-
·        Perniagaan stesen minyak Petronas di dua lokasi di Muadzam Shah,
·        Kedai COOP MART,
·        Perkhidmatan insuran,
·        Penyewaan bangunan,
·        Pembangunan hartanah.